Arus Academy: Pendidikan STEM untuk semua


Pertama kali saya dikenalkan kepada Arus Academy adalah pada tahun 2015, apabila mereka memenangi ‘Star Golden Hearts Award’ -- sebuah anugerah bagi rakyat Malaysia yang telah berjasa kepada masyarakat. Antara pemenang anugerah tersebut termasuklah sekumpulan remaja yang telah membantu seorang ibu melahirkan anaknya di pusat membeli-belah. Mungkin ada yang masih ingat insiden tersebut.

Apa yang membuat saya tertarik dengan Arus adalah keserasian kurikulum mereka dengan keperluan industri dan sektor pekerjaan pada masa kini. Di samping itu, format pendidikan yang diketengahkan Arus juga belum pernah lagi dilihat di negara kita. Inisiatif Arus amat bertepatan dengan konsep inovasi sosial, dan saya terpanggil untuk menghubungi mereka.

Latarbelakang Teach for Malaysia

Image: SITEC.com.my

Arus Academy telah ditubuhkan oleh empat orang alumni Teach for Malaysia (TFM), sebuah program di mana para graduan universiti dalam dan luar negara diberi peluang untuk mengajar di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Alina Amir dan Felicia Yoon masing-masing merupakan graduan sains aktuari dari University of Illinois dan London School Economics. Manakala Daniel Russel merupakan seorang pelajar di Multimedia University sebelum menyertai TFM, dan seorang lagi pengasas, David Chak, merupakan seorang graduan psikologi dari McGill University.

Pencetus penubuhan Arus adalah sebuah projek ‘Afterschool Coding Enterprise’ (ACE) yang telah dimulakan oleh David semasa beliau dan Alina berkhidmat di SMK Taman Sejahtera, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Sebuah sekolah yang rekodnya sering dicalari oleh masalah ponteng pada ketika itu. ACE dilihat sebagai langkah penyelesaian bagi masalah tersebut, di samping melengkapkan para pelajar dengan kebolehan di dalam penyelesaian yang berpandukan pendidikan Science, Technology, Engineering and Math (STEM) serta kepimpinan.

ACE menerima sambutan yang menggalakkan. Kelas tambahan yang telah diselaraskan oleh David dan Alina dipenuhi para pelajar sehinggakan mereka terpaksa diarah beredar daripada bengkel Kemahiran Hidup kerana menjalankan kelas sehingga larut malam. Satu transformasi yang agak mengagumkan jika dilihat masalah ponteng yang kian menular sebelum itu.

Inovasi di Pulau Mutiara

Image: ArusAcademy.org.my

Dengan berbekalkan keazaman yang tinggi, para pengasas Arus telah berjaya menyewa tapak rumah kedai yang terletak di tengah bandar Bukit Mertajam, dan pintu Arus Academy dibuka kepada para pelajar dari pelbagai lapisan masyarakat. Kurikulum yang telah direka untuk Arus Academy pada ketika itu merangkumi elemen design thinking, pengurusan projek, sains komputer, serta syarahan -- antara bidang yang jarang dititikberatkan oleh sistem pendidikan konvensional di negara kita.

Di dalam menjalankan program-program mereka, Arus mengamalkan kaedah maker education, terma yang mula diketengahkan oleh Dale Dougherty, antara pengasas O’Reilly Media. (Beliau juga merupakan individu pertama yang menggunakan terma ‘Web 2.0’.) Kaedah maker education menitikberatkan teori penyelesaian masalah dan pembelajaran melalui pengalaman dan kerjasama. Melalui modul-modul Arus yang diacu dengan pelbagai subjek dan disiplin, para pelajar telah diberi peluang untuk mengasah daya dan kebolehan mereka dari segi intelektual dan emosi.

Di dalam tempoh enam bulan, para pelajar dilatih untuk memahami teori dan prinsip sains komputer serta penggunaan atau aplikasi ilmu tersebut di dalam penyelesaian masalah. Melalui pengamatan video ‘TED talk’, mereka dilatih untuk menyampaikan ucapan di khalayak ramai dengan jelas dan yakin. Secara tidak lansung, para pelajar Tingkatan 1 hingga 4 empat tersebut didedahkan kepada peluang pembelajaran yang secara am-nya hanya disediakan di negara-negara maju.

Anak tempatan berimaginasikan Elon Musk


Saya berpeluang untuk berbual bersama dua orang pelajar Arus di program Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) #MYDigitalMaker Fair di Kuala Lumpur baru-baru ini. Navesh dan Maashyindran merupakan pelajar Tingkatan 2 yang berasal dari Bukit Mertajam. Mereka tidak pernah lagi keluar jauh dari Pulau Pinang tapi visi dan pandangan mereka jauh menjangkau sempadan negeri. Semasa di sekolah rendah, bersama-sama rakan mereka Nirosha, mereka telah memenangi tempat pertama di ‘National Science Fair for Young Children’ melalui rekaan mereka, Kereta Berpacuan Belon.

Anak-anak muda tersebut amat yakin di dalam memberi penerangan tentang rekaan mereka, ‘the Wooden Light Box’ -- alat makmal yang telah dicipta bagi memudahkan proses pengukuran suhu. Rekaan tersebut pada mulanya dicetus oleh eksperimen matapelajaran sains yang mengambil masa empat jam. Melalui daya inovasi dan penyelesaian masalah yang tinggi, alat rekaan mereka hanya dapat menjalankan eksperimen tersebut dalam masa lapan minit sahaja.

Sekali pandang, kedua anak muda tersebut hanya seperti remaja yang lain. ‘Nav’ adalah seorang penyokong Manchester United dan bermain midfield bagi pasukan sekolah beliau, manakala ‘Maash’ merupakan seorang pemain pertahanan yang melihat Gerard Pique sebagai idola beliau. Mereka masing-masing bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera petroleum dan jurutera komputer.

Projek terbaru mereka adalah proses pembuatan bata yang boleh menyelamatkan alam sekitar. Daya saing dan semangat anak-anak muda ini semakin berkobar nampaknya.

Usaha berterusan untuk generasi akan datang


Di majlis yang sama, saya berkesempatan untuk bertemu Alina, salah seorang daripada pengasas Arus yang telah meninggalkan kerjaya konsultan beliau untuk mengajar melalui program TFM dan seterusnya, Arus. Melalui pameran evolusi pendidikan mereka, Alina memberi gambaran tentang masa depan yang ingin dikecapi oleh Arus. Model yang ingin mereka terapkan adalah seperti yang sedang dijalankan oleh High Tech High (HTH), sebuah inisiatif gerakan maker education di Amerika Syarikat.

Berpengkalan di San Diego, HTH merupakan jaringan sekolah-sekolah yang tidak mengenakan yuran kepada para pelajar mereka. Di samping itu, buku teks juga tidak digunakan. Pencapaian para pelajar diukur melalui kerja-kerja projek mereka yang telah diberi mengikut tahap-tahap yang telah ditentukan.

Selepas hanya tiga tahun beroperasi di Pulau Pinang, Arus sudah mula mengembangkan sayap mereka ke negeri Selangor melalui pembukaan Arus Maker Studio di Shah Alam pada awal tahun ini. Berpusat di Selangor Digital Creative Centre, Maker Studio berkerja sama dengan sekolah-sekolah di seluruh negeri Selangor di dalam menjalankan program ko-kurikulum yang berasaskan maker education. Keahlian juga dibuka kepada orang awam yang ingin menggunakan khidmat pencetakan 3D ataupun pemotong laser yang disediakan.

Saya sempat singgah ke Maker Studio tidak lama selepas mengunjungi pameran mereka di #MyDigitalMaker. Di pusat tersebut, saya dikenalkan kepada Ali, salah seorang koordinator di pusat tersebut yang pernah bekerja di sektor automotif sebelum ini. Pusat tersebut juga diselenggarakan oleh Azrina dan Huda yang pernah berkhidmat untuk TFM. Guru-guru muda yang mula mengorak langkah di dalam kaedah pendidikan inovatif ini merupakan satu perkembangan yang amat menggalakkan.

Selain Maker Studio, Arus juga sedang giat berkerja sama dengan MDEC dan Kementerian Pendidikan di dalam memantapkan kurikulum sains komputer yang bakal diterapkan di dalam sistem pendidikan negara tidak lama lagi. Walaupun persoalan berkaitan hala tuju sistem pendidikan negara terus diperdebatkan oleh pelbagai pihak, sekurang-kurangnya pengelibatan anak-anak muda yang berkarisma dan beriltizam tinggi ini memberi harapan yang cerah bagi para pelajar di masa hadapan.

Image: Facebook.com/ArusMalaysia

Maklumat lanjut: http://www.arusacademy.org.my

Comments