Saora Industries: Memperkasa kehidupan melalui sinaran matahari dan air

Image: Jack Belvin

“Anda pasti akan terpersona. Arwah merupakan seorang anak kecil yang amat ceria. Sentiasa penuh dengan kegembiraan pabila bermain bersama rakan-rakan sebaya. Malang sekali, di sebalik kegembiraan tersebut terselindung kesedihan.”

Begitulah kata-kata Ganesh Muren di dalam ucapan beliau di majlis penganugerahaan Laureate ‘Here for Good’ pada tahun 2016. Beliau menceritakan kisah seorang anak kecil yang dikenalinya ketika menjadi seorang sukarelawan di sebuah kampung yang tidak jauh dari ibukota. Walaupun sentiasa ceria dan gembira di luar, anak kecil tersebut, rakan-rakannya, dan ahli keluarga mereka tidak pernah berpeluang untuk menikmati air bersih sepanjang hidup mereka.

Insiden tersebut menjadi pemangkin kepada Ganesh, yang juga merupakan seorang pelajar kejuruteraan tahun ke-2 pada ketika itu, untuk berusaha untuk mengubah nasib para penduduk di kampung tersebut. Sukar baginya untuk menerima hakikat sebuah kampung yang tidak begitu jauh daripada kawasan bandaraya tetapi tidak mempunyai akses kepada air bersih. Setelah enam bulan bekerja keras mengusahakan projek beliau, Ganesh pulang ke kampung tersebut bersama rekaannya: sistem penapisan air berkuasa solar. 

“Orang pertama yang ingin saya tunjukkan rekaan tersebut adalah anak kecil yang saya temui semasa lawatan sebelum itu. Tetapi hanya ibunya sahaja yang dapat saya temui,” kata Ganesh.

“Anak kecil itu sudah meninggal dunia kerana diarrhea berpanjangan. Pada ketika itu, saya tahu bahawa saya perlu membuat sesuatu.”

Image: Saora Industries

Memori yang berkekalan

Kehilangan yang tragis itu merupakan titik permulaaan perjalanan Ganesh di dalam merealisasikan hasrat beliau untuk mengubah nasib kehidupan para penduduk kampung tersebut. Iltizam beliau untuk memberi akses kepada air bersih di kampung tersebut semakin kukuh. Melalui keazaman tersebut terbentuklah Saora Industries, sebuah perusahaan sosial yang ditubuhkan untuk “memperkasa kehidupan melalui teknologi hijau dan pembangunan komuniti yang lestari”.

‘Saora’ yang bermaksud ‘matahari’ di dalam bahasa Sanskrit digambarkan sebagai simbolik oleh Ganesh di dalam membawa hasrat beliau untuk menyinari harapan buat keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan. Selepas hanya tiga tahun beroperasi, Saora telah menyumbangkan perkhidmatan mereka kepada lebih 4,000 individu melalui projek-projek yang dijalankan di kawasan pendalaman seluruh negara. Selain daripada memenangi pelbagai anugerah di dalam dan luar negara, Saora juga dikenali sebagai antara perusahaan sosial yang paling pesat berkembang di rantau ini.

Semangat keusahawanan yang dipunyai oleh Ganesh ini datangnya daripada ibu beliau. Semasa membesar, ibunya sentiasa mencari peluang pekerjaan di institusi-institusi pendidikan agar Ganesh dapat diberi peluang untuk belajar di bawah institusi yang sama. Semasa di kolej, beliau mengambil peluang untuk bergiat aktif di dalam aktiviti sukalerawan yang kemudiannya telah membawanya ke kawasan pendalaman.

Walaupun sentiasa sibuk dengan kerja-kerja pemasangan unit penapisan solar, Ganesh mengambil masa untuk menjawab e-mel pengenalan saya kepada beliau. Saya agak kagum dengan keprihatinan anak muda ini, dan kami bersetuju untuk meneruskan temubual melalui e-mel.

Image: Saora Industries

Usahasama jangka panjang

Antara soalan yang bermain di fikiran saya adalah model operasi Saora. Di dalam menjalankan kerja pemasangan mereka di kawasan pendalaman, sudah pasti kos pembuatan dan logistic menelan belanja yang tinggi. Saya ingin tahu pendekatan yang diambil Saora di dalam merealisasikan azam mereka untuk mencapai 10,000 rumah pada tahun 2018.

“Kolaborasi korporat kami adalah antara penyumbang utama kepada Saora. Selain saluran kewangan, bantuan tenaga kerja juga boleh didapati melalui usahama tersebut,” kata beliau.

“Sekiranya rakan kerja korporat kami tidak dapat memenuhi bantuan yang diperlukan, kami juga bekerjasama dengan persatuan-persatuan di dalam mengembangkan usahasama kami. Kami sering cuba untuk mempelbagaikan usahasama bagi mencapai objektif yang telah ditentukan,” tambahnya.

Ganesh sering menyebut tentang para penerima bantuan di dalam jawapan-jawapan beliau. Saya bertanya juga akan strategi Saora di dalam mengimbangi komitment perniagaan dan sosial mereka, sebagai sebuah perusahaan sosial.

“Memastikan objektif jangka panjang kami dicapai merupakan sebuah aspirasi yang mencabar. Kami akur akan keperluan industri yang perlu dipenuhi sekiranya kami ingin meneruskan usaha sosial kami. Dengan itu, kami sentiasa mempertimbangkan peluang untuk terus memberi perkhidmatan kepada sektor industri, sebagai langkah untuk membiayai inisiatif sosial kami,” kata beliau.

Saora kini sudah memetrai usahasama bersama Yayasan Siti Sapura, Hong Leong Foundation dan Yayasan Kemajuan Insan Sarawak.

Image: Saora Industries

Mengatasi Halangan 

Walaupun Saora dilihat sebagai sebuah entiti yang mula mengorak langka, perjalanan mereka tetap dipenuhi cabaran-cabaran yang mendatang. Pada mulanya lagi, projek penapis berkuasa solar yang direka Ganesh sebagai projek beliau hanya diberi gred C. Keputusan itu tidak sikit pun memudarkan semangat beliau untuk meneruskan perjalanan, sehinggalah Saora ditubuhkan. Pada awalnya, Saora bagaikan pendatang baru yang kecil yang cuba untuk memasuki industry yang didominasi oleh syarikat-syarikat besar sahaja.

“Kami menempuhi banyak cabaran untuk mendapatkan projek yang pertama sekali. Kami amat yakin dengan produk kami, tetapi kami pendatang baru. Jadi di mata para pelanggan, kami tidak mempunyai reputasi yang boleh dijadikan sebagai kayu pengukur. Selain daripada itu, kami juga tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk pengiklanan dan promosi,” kata beliau.

Namun begitu, struktur sebuah perusahaan sosial juga telah memberi Saora peluang untuk menerapkan perubahan di dalam orgnisasi mereka. Sebarang perubahan dari segi teknologi atau pembaikan servis tidak perlu melalui sistem birokrasi yang mengambil masa. Kebolehan ini dilihat sebagai aset oleh Ganesh sehingga hari ini.

Saya juga berminat dengan sokongan atau bantuan yang diterimah oleh sektor perusahaan sosial pada hari ini. Kita sering melihat laporan berkenaan peruntukan bagi sektor tersebut di dada akhbar. Tetapi saya ingin tahu dengan lebih lanjut akan situasi sebenar bagi perkara ini.


“Akses kepada maklumat dan peruntukan adalah lebih mudah dan meluas pada hari ini. Terdapat lebih banyak program yang telah direka untuk penukaran serta perkongsian maklumat. Pihak media juga memberi tumpuan kepada perusahaan baru pada masa ini,” kata Ganesh.

“Tetapi masih banyak yang boleh dilakukan,” tambah beliau, “Sokongan dan bantuan yang disediakan kepada kami di kawasan bandar harus juga dihulurkan kepada mereka di luar bandar, terutamanya jika sektor-sektor seperti pertanian,pelancongan dan pendidikan ingin diperkembangkan dengan lebih pesat. Keperluan ini lebih diperlukan di kawasan luar bandar, dan lebih banyak boleh dicapai sekiranya kita bekerjasama.”

Image: Saora Industries

Kepimpinan transformasi

Pertama kali saya mendengar mengenai Saora adalah melalui saluran YouTube Transformasi Nasional 2050 atau TN50, yang merupakan sebuah usaha untuk memberi gambaran pencapaian Malaysia pada tahun 2050 kelak. Ganesh telah dilantik sebagai salah seorang duta TN50 bersama-sama beberapa duta lain termasuk bekas ahli sukan gimara Negara, Dr. Farrah-Hani Imran, saintis marin Dr. Louisa Shohbini Ponnampalam dan aktivis warga OKU, Dr. Aizan Sofia Amin.

“Saya berasa amat terharu dan teruja akan peluang dan kepercayaan yang telah diberi ini,” kata beliau, “Sebagai seorang duta TN50, saya menggalas tanggungjawab besar dan saya akan buat sehabis baik. Peluang ini memberi saya ruang untuk mendengar akan keperluan yang perlu disediakan serta ide-ide yang boleh menjurus kepada pembangunan Negara. Perlantikan ini juga merupakan sebuah pemangkin yang amat besar di dalam usaha saya untuk membawa perubahan dan menambahkan akses kepada air bersih di kawasan-kawasan yang memerlukan.”

Kisah Ganesh Muren dan Saora Industries menggambarkan betapa pentingnya keazaman dan keutuhan di dalam merealisasikan impian seseorang. Siapa sangka, niat yang dilahirkan bagi membantu seorang anak kecil dan keluarganya telah kini berkembang menjadi sebuah gerakan yang bakal menyelamatkan ribuan malah mungkin jutaan kehidupan. Visi yang amat mengagumkan melalui kaca mata anak muda daripada Klang ini.

Di dalam ucapan beliau pada majlis Anugerah Laureate tahun lepas, Ganesh juga berkata, “Semasa membesar, saya mengimpikan kekayaan sebanyak RM 1 billion pada suatu hari nanti. Kini, hasrat saya adalah untuk menyelamatkan 1 billion nyawa.”

Image: UMT

Comments