Brain for Future: Membalas jasa melalui wakaf pendidikan


Semasa menjadi pelajar tahun akhir jurusan perakaunan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), hanya satu perkara yang bermain di minda Halimaton Mohamad. Fokus dan tekad beliau pada masa itu adalah untuk menyiapkan kertas kerja akademik yang merupakan mata pelajaran wajib sebelum menamatkan pengajian di UIA. Subjek yang telah dipilihnya tidak jauh dari hati beliau iaitu wakaf. Selain daripada mendalami konsep dan intipati ilmu wakaf, kajian tersebut adalah berdasarkan kepada pengalaman hidup yang dilaluinya.

Berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan, anak ketiga dari empat adik-beradik ini dibesarkan di dalam suasana yang serba kekurangan. Namun begitu, dengan bantuan zakat, Halimaton dibekalkan dengan semangat dan iltizam yang tinggi untuk mengubah nasib keluarganya. Berkat usaha dan doa, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Maahad Ahmadi, Negeri Sembilan sebelum menyambung pengajian di UIA. Pengalaman tersebut meninggalkan kesan yang mendalam kepada Halimaton, yang berazam tinggi untuk melihat anak-anak lain yang senasib dengannya juga diberi peluang yang sama.

Pengajian berpanjangan

Setelah menamatkan pengajian di UIA pada tahun 2012, Halimaton terpanggil untuk meneruskan kajian wakaf yang telah dijalankannya. Semasa ditemuduga untuk pekerjaan pertama beliau, Halimaton menyatakan hasratnya untuk menyumbang kepada pembangunan wakaf, walaubagaimanapun, ketika itu wakaf belum menjadi tumpuan utama jabatan beliau, iaitu Jabatan Perbankan Islam dan Takaful. Keadaan ini tidak sama sekali mematahkan semangatnya dan pada tahun 2014, beliau menubuhkan kumpulan kajian wakaf untuk meneruskan hasrat yang telah disimpannya.

Di kampus UIA Gombak, Halimaton ditemukan dengan Amin Idris, Salwani Muhamad dan beberapa pelajar lain yang merupakan pelajar jurusan Ekonomi dan Pengurusan Perniagaan pada ketika itu. Di tempat kerja, Halimaton ditemukan dengan Azreen Hasnudin yang mempunyai latar belakang undang-undang. Inisiatif yang menampakkan potensi pada mulanya itu, walaubagaimanapun, terpaksa diadaptasikan kepada bentuk yang lain, iaitu Brain for Future (BFF).

BFF merupakan program bantuan kewangan selama satu tahun buat para pelajar yang memerlukan di universiti-universiti awam. Berpandukan kepada sistem wakaf yang menjadi pelopor kepada penubuhan universiti-universiti ternama seperti Al-Azhar dan Oxford, BFF mula mengorak langkah di dalam mencari dana untuk memulakan usaha mereka. Sumber kewangan yang telah dikumpulkan kemudiannya diatur dan distrukturkan untuk diagihkan kepada para pelajar yang telah dipilih dengan teliti. Selain daripada wang elaun bulanan, BFF juga mula berkerjasama dengan pihak universiti di dalam menawarkan biasiswa di dalam menyelesaikan yuran para pelajar yang tertunggak.

Pada ketika itu, media tempatan giat melaporkan keadaan para pelajar di universiti-universiti tempatan yang terpaksa mengikat perut dek kekangan kewangan. Perkara yang sama telah disaksikan oleh Halimaton sendiri semasa menjadi pelajar.

“Saya sendiri mempunyai sahabat yang hanya mampu makan bihun kosong dan air garam sahaja setiap hari,” kata beliau.

“Berat mata memandang, berat lagi mata memikul. Melihat keadaan sebegitu memberi saya lebih semangat untuk mengubah nasib rakan-rakan pelajar di masa akan datang,” tambahnya.


Melebarkan sayap

Pada tahun pertama operasi, seramai 37 orang pelajar dari pelbagai kaum telah dipilih untuk menjadi penerima bantuan BFF, di mana RM 27,000 telah berjaya dikumpulkan daripada penderma individu. Pada tahun kedua operasi BFF, di tahun 2016, sebanyak 400 lebih permohonan telah diterima di mana seramai 60 orang pelajar telah dipilih. Jumlah yang semakin besar ini, walaupun mengalakkan, mula memberi cabaran kepada BFF.

“Kami mula melihat perkembangan yang amat menggalakkan di tahun pertama dan kedua. Walaubagaimanapun, perkembangan ini juga hadir dengan cabaran yang mendatang di mana kami perlu mengumpul dana dengan lebih cepat!” kata Halimaton.

Dengan strategi pengumpulan dana yang lebih menyeluruh, BFF berjaya mengumpul jumlah yang diperlukan bagi operasi tahun kedua. Pada masa yang sama, mereka mula mendapat sokongan daripada rakan-rakan termasuk aktivis saudara Syed Azmi. Pada tahun 2017, program BFF mula memberi fokus kepada pelajar tahun ke-3 dan ke-4, di samping menerapkan latihan bagi menyediakan para pelajar untuk mengharungi temuduga dan membina karier setelah tamat belajar.

Walaupun jaringan BFF mula berkembang pesat, jumlah sukarelawan terus berubah-ubah.

“Sebagai sukarelawan yang menjalankan inisiatif ini separuh masa, jumlah ahli pasukan kami yang berubah-ubah adalah dijangka,” kata Amin, Koordinator BFF yang juga berkhidmat di sektor awam.

“Tuntutan keluarga dan pekerjaan harus dipenuhi dan ada di antara kami yang terpaksa berundur. Namun begitu, kami terus berjalan sebagai satu unit,” tambah anak kelahiran Kuala Lipis itu.


Rancangan masa hadapan

Apabila diajukan soalan tentang aspirasi BFF, Halimaton memberi perumpamaan Big Society Capital, sebuah organisasi yang berpengkalan di United Kingdom. Organisasi tersebut wujud di atas dasar memberi bantuan dan menyatukan segala usaha-usaha yang dijalankan ke arah bantuan dan pembangunan sosial. Hasrat ini tidak sama sekali mustahil jika dilihat perkembangan BFF sehingga ke hari ini. Daripada fokus yang hanya diberi kepada institusi-institusi di Lembah Kelang, BFF mula mengorak langkah dengan berkerjasama dengan beberapa universiti di Pantai Timur.

Pada masa ini, BFF sedang menjalankan perbincangan dengan beberapa syarikat dan agensi sektor swasta dan sektor awam, bagi merangka program-program kerjasama yang boleh dijalankan. Melalui kerjasama berikut, bantuan kewangan, tenaga kerja dan fasiliti sudah pasti dapat digapai oleh organisasi-organisasi yang berkenaan. Jika dilihat kepada niat, hasrat, dan azam yang ditunjukkan oleh ahli-ahli BFF, kejayaan sudah pasti dapat dilakarkan pada masa akan datang.


Comments